Bukanlah suatu perkara sangat sukar bagi mana-mana pihak yang senantiasa mengikuti perkembangan isu-isu sosio-politik negara untuk merasionalkan maksud sebenar penegasan Mursyidul Am PAS berkenaan sikap DAP terhadap Islam yang hangat diperkatakan kini.
Ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu pada Rabu (12 Ogos), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan menganggap tindakan beberapa pemimpin DAP yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam tidak menghairankan. Baginya ia mungkin ekoran kefahaman mereka terhadap agama Persekutuan yang tidak begitu mendalam. Tok Guru sebaliknya membandingkan tindakan pemimpin bukan Islam itu dengan penghinaan yang dibuat oleh sebilangan pemimpin Islam sendiri. "DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,"ulasnya.
Meski pun tidak menyatakan pemimpin Islam mana yang beliau maksudkan, tidak sukar diakui kenyataan beliau itu lebih ditujukan kepada para pemimpin Umno. Apatah lagi itu bukan kali pertama Tok Guru meluahkan kekecewaannya terhadap parti tua itu yang disifatkannya terang-terang menolak ajaran Islam dan memilih kebangsaan sebagai dasar perjuangannya. Perbuatan Umno itu menyebabkan Islam tercemar dan disalah-ertikan kesuciannya, terutama oleh mereka yang bukan Islam. Tidak syak lagi senarai penghinaan oleh para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno terhadap ajaran dan hukum Islam amat panjang. Ia boleh dikatakan berlaku saban tahun dan tidak terlepas dari perbahasan dalam masyarakat.
Kes paling banyak ialah percanggahan terbuka antara para pemimpin Umno dengan para ulama dan agamawan. Sebagai pengajaran apa kata kita tinjau kembali sebahagian daripada isu-isu dimaksudkan itu.
Pertama, isu rumah terbuka kongsi raya. Satu daripada 23 resolusi Muzakarah Ulama pada Jun 2006 menggesa kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Menurut kenyataan jawatankuasa muzakarah, resolusi itu bukan berniat memburukkan kepercayaan agama lain di negara ini. Sebaliknya ia merupakan perkara fikah bagi mempertahankan akidah umat Islam. Ia dibuat ekoran keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelumnya bahawa perbuatan merayakan perayaan agama lain boleh memesongkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesyirikan (The Star, 16 Jun 2006). Gesaan itu bagaimana pun disanggah secara terbuka oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau sebaliknya menegaskan kementeriannya akan meneruskan program rumah terbuka kongsi raya kerana ia acara sosial yang diterima baik pelbagai kaum dan bukan upacara keagamaan yang boleh menggugat keimanan. Bukan itu saja, Rais malah dipetik akhbar sebagai menempelak para ulama seraya menyifatkan pandangan mereka itu sebagai pemikiran sempit. "Mereka yang beranggapan sambutan itu tidak boleh diadakan saya anggap itu pemikiran sempit dan kami sedia bertelaah dengan mana-mana pihak berhubung isu itu," kata Rais (Berita Harian, 16 Oktober 2006).
Kedua, isu konsert hiburan keterlaluan. Mufti Perak, Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria menegaskan semua konsert serta rancangan hiburan yang keterlaluan, termasuk Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol dan Karnival Sure Heboh TV3 jelas bertentangan dengan hukum syarak. Selain menggalakkan budaya berhibur di kalangan remaja, program berkenaan jelas membelakangkan hukum agama seperti meninggalkan solat, menggalakkan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan menyelitkan unsur kebaratan. "Adalah disyorkan karnival itu (Sure Heboh TV3) dihentikan sebagai merealisasikan konsep negara Islam Hadhari. Ini bukan masalah emosi tetapi kehormatan agama dan maruah bangsa. Budaya seperti ini terang-terang mencabuli budaya Melayu dan Islam,"kata Harussani (Berita Harian, 3 Ogos 2004). Pengajuran Sure Heboh TV3 Keputusan itu bagaimana pun dipersoalkan Menteri Penerangan, Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir. "Saya tidak nampak penganjuran konsert TV3 Sure Heboh ini salah. Tiada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja,"katanya, sepertimana dipetik Berita Harian pada tarikh sama. Beliau selanjutnya meminta pihak yang membuat kenyataan mengharamkan sesuatu perkara agar mengkaji terlebih dahulu kesannya supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai menyindir golongan ulama, khususnya Mufti Perak.
Ketiga, konsep Islam Hadhari yang mengelirukan. Konsep itu diperkenalkan oleh Umno sejurus selepas Dato' Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003. Sejak diperkenalkan, Islam Hadhari tidak pernah sunyi dari pertikaian, terutama dari kalangan ulama dan cendikiawan Islam sendiri. Ia antara lain dianggap seumpama mengada-adakan sesuatu yang dilabelkan kepada Islam dan menyalahi sifat Islam itu sendiri yang sudah sempurna. "Kita tidak boleh dengan mudah menggunakan perkataan Islam sebagai label, sebab ia boleh menimbulkan kekeliruan. Sebab itu sejak mula diperkenalkan dulu, orang bertanya: Kenapa Islam Hadhari? Dan mereka bertanya lagi: Apakah Islam yang ada sekarang tidak betul?,"ulas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (wawancara dengan Sinar Harian, 17 April 2008). Menurutnya, ramai kalangan ulama yang tidak bersetuju dengan istilah Islam Hadhari."Mereka menyatakan pandangan mereka secara terbuka, tetapi mereka tidak didengar," sambungnya lagi. Memang itulah sifat dan sikap Umno, dulu, kini dan selamanya. Ia memang sukar mendengar dan menerima pandangan pihak lain, termasuk dari ulama dalam perkara berkaitan Islam.
Keempat, wanita dibolehkan melacur jika terdesak. Itu kesimpulan yang dapat difahami dari pandangan Dato' Dr Mashitah Ibrahim. Bagi Umno beliau adalah seorang agama wanita dan dijulang menerusi forum perdana ehwal Islam serta diberikan tanggungjawab dalam kerajaan menerusi portfolio berkaitan Islam. Namun bagi Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddeen Mohd Taib yang pernah bertanding menentang Dr Mashitah di situ, jelitawan Umno itu ialah seorang 'ratu cantik'. Okay, kesnya ialah Dr Mashitah melalui kolumnya di Harian Metro 21 Jun 2005 memberikan respons kepada satu soalan mengenai wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak. Jawabnya, mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu �terpaksa� membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan�. Sambungnya lagi, perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan. Kenyataan itu mendapat reaksi tidak menyenangkan sebahagian besar umat Islam negara ini. Malangnya, reaksi itu tidak langsung mendorong Dr Mashitah menariknya balik. Umno pula bukan setakat tidak menegur keterlanjuran itu, malah semakin memberikan keistimewaan kepada Dr Mashitah. Ketika membuat kenyataan itu beliau hanyalah Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Kini beliau naik satu anak tangga ke jawatan timbalan menteri menjaga portfolio sama. Mungkinkah anugerah itu sebagai penghargaan Umno atas fatwanya yang menghalalkan pelacuran itu?
Kelima, Kabinet menolak garis panduan hiburan berasaskan agama kerana bercanggah dengan Perlembagaan. Kes pada Mei 2005 ini satu lagi yang membabitkan Rais. Selaku Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, beliau berjaya meyakinkan Kabinet untuk menangguhkan pelaksanaan cadangan garis panduan hiburan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berbagai alasan diberikan bagi merasionalkan keputusan itu. Dikatakan perkara itu memerlukan kajian mendalam. Rais juga menyebutkan tentang adanya sebuah jawatankuasa dikenali sebagai Puspal, dibentuk pada 2001 di bawah kementeriannya. Baginya jawatankuasa itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik memantau etika dan perlakuan pelakon, penyanyi dan anggota kumpulan muzik. Difahamkan garis panduan hiburan itu antara lain melarang penyiaran atau persembahan hiburan ketika waktu solat. Ia juga melarang penggunaan istilah dan penulisan lirik yang bercanggah dengan Islam atau yang dianggap melalaikan pendengar. Penggubalan garis panduan itu turut melibatkan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Malangnya ia seakan ditolak mentah-mentah oleh kerajaan. Walau pun menggunakan istilah 'menangguhkan', tempoh penanggguhan itu tidak diketahui bila akan berakhir. Apa yang pasti setelah lebih empat tahun berlalu, rakyat belum diberitahu sejauh mana perkembangan kajian mendalam oleh Rais itu. Mungkin hasrat sebenar beliau dapat difahami dari kata-katanya ketika itu. "Sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang yang hakikatnya berkaitan agama terhadap industri muzik dan hiburan sebagai lebih daripada polis moral yang amat mengikuti undang-undang.
Umno tolak hukum Islam "Melaksanakan peraturan keagamaan seperti 'apa yang boleh dan tidak boleh dibuat', bertentangan dengan Artikel 8(a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan prinsip kesaksamaan semua rakyat dalam undang-undang,"katanya (Berita Harian, 28 Mei 2005). Ya, mungkin bagi Umno, wasiat Raja-Raja Melayu bahawa Islam itu Agama Persekutuan akan dijunjung hanyalah selagi mana Islam itu tidak bercanggah dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan?
Keenam, Kabinet April lalu memutuskan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walau pun ibu atau bapa memeluk Islam. Keputusan itu kemudiannya ditempelak para mufti dan agamawan sebagai membelakangkan kepentingan Islam. Mereka berpendapat Kabinet sepatutnya terlebih dahulu mendapatkan pandangan Islam sebelum membuat keputusan itu. Ia juga tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang bulan lalu.
Ada banyak lagi contoh dalam senarai perkara yang boleh dikategorikan sebagai tindakan Umno yang bercanggah dan menghina Islam. Jika mahu dimuatkan kenyataan para pemimpin Umno yang menolak hukum Islam, khususnya hudud, ia akan menjadi terlalu panjang.
Ada sebuah buku bertajuk "Mahathir anti-Islam" diterbitkan Dewan Pemuda PAS Pusat (2002) memuatkan sebahagian kenyataan, terutama oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir mengenai perkara itu.
Sebagai kesimpulan, sudah tidak sukar diakui betapa sikap dan perbuatan sebilangan pemimpin Melayu-Islam sendiri sebenarnya yang menjadi punca penghinaan terhadap Islam, termasuk oleh bukan Islam. Sepertimana ditegaskan Tok Guru, apabila pemimpin Islam sendiri tidak menerima gagasan Islam dalam hidup atau sebagai dasar parti dan kerajaan yang mereka pimpin, apa peliknya bila bukan Islam mempertikaikan Islam?
No comments:
Post a Comment