Sunday, August 9, 2009

FFM22: Papadom Dinobat Filem Terbaik!


KOTA KINABALU, 8 OGOS 2009: Filem Papadom arahan pengarah kreatif, Afdlin Shauki, mencipta sejarah tersendiri apabila telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang bersiaran secara langsung dari Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini sebentar tadi.

Walaupun belum lagi ditayangkan, Papadom telah meraih perhatian pihak juri profesional dan turut meraih kejayaan manis melalui 2 lagi Anugerah Perdana iaitu Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Afdlin Shauki sendiri serta Pelakon Wanita Terbaik menerusi bintang remaja, Liyana Jasmay.

Ia sekaligus menepiskan ramalan awal bahawa filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad akan mendominasi kategori tersebut dalam majlis anugerah yang meriah itu.

Papadom yang berkisar tentang hubungan kasih sayang seorang ayah dan anak, turut menerima kemenangan menerusi kategori Cerita Asal Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Biarpun Talentime gagal diangkat sebagai Filem Terbaik, namun Allahyarham Yasmin telah berjaya merangkul 2 anugerah iaitu Pengarah Terbaik serta Lakon Layar Terbaik bersama anugerah Pelakon Lelaki Pembantu (Mohammad Syafie Naswip) dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (Jaclyn Victor).

Lebih manis apabila Talentime turut menerima anugerah juri sebagai satu filem dimensi baru yang berjaya mempromosikan elemen kasih sayang dan kemanusian sesama insan. Sebuah segmen penghormatan buat Allahyarham Yasmin turut diselitkan menerusi paparan klip video tentang hasil kerjanya dan ia telah menyentuh emosi seluruh penonton dan ahli keluarga Yasmin sendiri.

Artis yang membuat persembahan malam tadi adalah Jo-Ann, Stacy, Rey, Pacai bersama Afdlin & Rashidi Ishak, Capz Ayam, Ito bersama Altimet dan Upin & Ipin, Awie dan team pelakon Estet.

Ramai artis yang hadir memeriahkan acara ini antara mereka Datin Natasha Hudson, Jaclyn Victor, Que Haidar, Linda Jasmine, Scha Al-Yahya, Umie Aida, Hans Isaac, Liyana Jasmay dan Farid Kamil.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula, ia telah dimenangi oleh Salina Saibi dari filem Bohsia. FFM22 yang bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia turut dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (Saluran 4) dan dihoskan oleh Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran.

Berikut adalah senarai penuh pemenang:-

Anugerah Perdana (14 anugerah)

Filem Terbaik - Papadom
Pengarah Terbaik - Yasmin Ahmad (Talentime)
Pelakon Lelaki Terbaik - Afdlin Shauki (Papadom)
Pelakon Wanita Terbaik - Liyana Jasmay (Papadom)
Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad (Talentime)
Cerita Asal Terbaik - Afdlin Shauki (Papadom)
Sinematografi Terbaik - Mohd Nor Kasim (Setem)
Penyunting Terbaik - Faizul Mohd Noh (Setem)
Skor Muzik Asal Terbaik - Syed Ahmad Faizal (Papadom)
Filem Komedi Terbaik - Los dan Faun
Filem Animasi Terbaik - My Telatori (The One Academy of Communication Design)
Filem Pendek Terbaik - Permata Bonda (Universiti Sains Islam Malaysia)
Filem Digital Terbaik - Aathma (Demaz Entertainment)
Filem Dokumentari Terbaik - Bumi Pribumi (Finas & Q-Plez Communication)

Anugerah Cipta (11 anugerah)

Pengarah Harapan - James Lee (Histeria)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Mohd Shafie Naswip (Talentime)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Salina Saibi (Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam)
Penataan Seni Terbaik - Nazrul Asraff Mahzan (Setem)
Penataan Bunyi Terbaik - Mohd Mohsin Osman (Cicakman 2)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Mohd Hadziq (Syurga Cinta)
Pelakon Harapan Lelaki - Zahiril Adzim (Kami The Movie)
Pelakon Harapan Wanita - Jaclyn Victor (Talentime)
Pereka Kostum Terbaik - Shen Imagineering (Cicakman 2)
Lagu Tema Asal Terbaik - Sayangku Di Sisimu (Jin Hutan)
Poster Terbaik - Histeria

Filem Box-Office - Geng Pengembaraan Bermula
Anugerah Penggiat Belakang Tabir - Omar Man
Anugerah Pelakon Veteran Wanita - Seniwati Mariani Ismail
Anugerah Pelakon Veteran Lelaki - Seniman S.Shamsudin

Penerima Anugerah Khas Juri
Talentime
Kami The Movie
Histeria
Geng: Pengembaraan Bermula (Animasi)

No comments:

Post a Comment