BUDAPEST - Pemandu Ferrari, Felipe Massa berjaya diberikan rawatan kelmarin ekoran kepalanya terkena serpihan yang melantun pada sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix Hungary.Massa mengalami luka dahi, kecederaan kepala dan gegaran dalam kemalangan yang disebabkan pegas sebesar penumbuk seberat sekitar 800 gram tercabut daripada kereta rakan senegara dari pasukan Brawn, Rubens Barrichello beberapa saat sebelum kejadian itu.
Juara F1, Ferrari dalam satu kenyataan berkata, pemandu Brazil itu telah menjalani pembedahan kecemasan yang berjaya di hospital tentera AEK Budapest.Seorang pegawai Kementerian Pertahanan turut berkata, Massa berada dalam satu 'keadaan yang serius dan mampu mengancam nyawa' sebelum pembedahan itu."Apa pun, dia dalam keadaan stabil dan memuaskan," katanya.Kemalangan itu yang mengetepikan Massa daripada perlumbaan di Hungaroring semalam, mengembalikan kenangan kemalangan yang meragut nyawa rakan senegara dan juara tiga kali, Ayrton Senna di Imola pada 1994.
Ia turut menyusuli kematian pelumba Britain, Henry Surtees, 18, anak lelaki juara F1 Ferrari 1964, John, Ahad lalu akibat terkena sebuah roda yang terlepas dalam satu perlumbaan di Brands Hatch.Jentera merah Massa, meninggalkan kesan brek yang berjalur merentasi asfalt, mencecah terus ke selekoh empat dan hingga tembok tayar.Pelumba Brazil itu yang dilihat sudah tidak sedarkan diri, dikeluarkan dan dibawa oleh ambulans ke pusat perubatan litar dan kemudian oleh helikopter ke hospital.Laman web Gazzetta dello Sport Itali (www.gazzetta.it) menunjukkan sekeping gambar pemandu dengan pelindungnya terkoyak dan luka dalam berdarah pada mata kirinya yang tertutup.Barrichello yang terkejut, telah ke pusat perubatan untuk melihat rakan senegaranya itu.
"Saya mahu melihatnya sendiri kerana saya pernah berada dalam situasi seperti itu," katanya.
"Kami warga Brazil dan kadangkala kami mempunyai sebuah keluarga, kadangkala tidak, dan apabila kami bangun, semua yang kami mahu lihat ialah sesiapa yang yang kami kenali. "Saya mahu berada di sini kalau-kalau tiada siapa daripada keluarganya di sana."Namun selepas dia sedar, dia bergerak dan dia amat terkejut dengan hakikat bahawa kepalanya tercedera," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment